2007
2) Langit Tanpa Bintang
Kisahnya bermula apabila Allah mahu mengajar beberapa hambanya yang
berbuat salah terhadap diri masing-masing. Sebab hati-hati mereka ego dan
keras. Tetapi, nanti mereka semua akan terjatuh, terlentang dan tersedar.
Pada penghujung tahun 2007 bulan Oktober, umat Islam di Parit Raja sedang
bersenang hati kerana Hari Raya Aidilfitri bakal tiba. Bazar ramadhan sesak
dengan manusia. Pasar malam juga begitu. Bagi Maryam binti Abdul Aziz, dia
lebih memilih menyibukkan diri dengan longgokan surat khabar daripada bermacam
jenis penerbit. Matanya hanya mencari cerita tentang angkasawan muda Malaysia
yang pertama. Dr. Syeikh Muzhaffar Syukor. Setiap hari, disuruhnya abang sulung
yang tua enam tahun daripadanya mencari surat khabar waktu hendak pergi
bekerja. Tahun 2007 itu tahun rahmat. Dia sudah di tahun akhir pengajian.
Usianya pun sudah bertambah menjadi 23 tahun. Bulan Januari tahun hadapan, Maryam
akan memulakan praktikal mengajar di Kedah. Segala yang dirancangnya berjalan
baik.
Malam itu sudah malam ke 27 Ramadhan. Maryam sudah tidak ke masjid
bersolat tarawikh. Dia datang bulan. Lalu, kesempatan itu digunakannya untuk
mula menfail artikel dari surat khabar tentang projek angkasawan negara yang
pertama. “Kau nak buat apa dengan surat khabar ni? Banyak ni Maryam.”, Firdaus
si abang sulung bertanya petang itu. “Projek individu. Kan senang nanti nak
mengajar pakai bahan ni. Current issues
ni. ABM (Alat Bantu Mengajar) tahu, ABM.”, santai dia menjawab sambil
menggoreng ikan. “Iyolah Yam...”, lalu Firdaus menghilang ke bilik mandi.
Dari dalam bilik, Maryam mendengar ayahnya pulang dari masjid. Bunyi
motor sahaja sudah dia dapat cam itu ayahnya. Fail putih berisi keratan akhbar
diletakkan dalam rak. Kemudian, kedengaran ayahnya berborak dengan emak di
dapur. “Maryam kata tak nak mengajar lepas habis belajar nanti? Pasal apa Nah?”,
hati Maryam tertarik untuk mendengar. Dia keluar dari bilik dan pura-pura
melihat adiknya, Raihan membuat kerja sekolah. Raihan hanya diam melihat
kakaknya duduk disebelah.
“Dia nak sambung master.”,
Norjinah yang menyendukkan nasi dalam pinggan suaminya menjawab. Dia tahu,
suaminya pasti melenting. Namun, kalau sudah anak perempuan sedegil ayahnya,
dia mahu buat apa lagi. Maryam sejak kecil memang keras hati. Orangnya nampak
pendiam dan lembut, tetapi sangat kuat percaya pada kemahuan. Sebenarnya
daripada dia di tahun tiga lagi, dia sudah beritahu pada emaknya yang dia mahu
sambung belajar. Tetapi, Norjinah selalu mengelak berbincang soal sambung
master itu dengan Maryam. Dia tidak sampai hati kalau nanti suaminya tidak
izinkan dan Maryam kecewa.
“Nah, saya tak nak dia pergi jauh sangat. Dia perempuan.”, selepas
meneguk teh secawan, Abdul Aziz menyatakan pendiriannya. Dia tahu anak
perempuannya mahu menjauhkan diri daripada keluarga. Dia sudah menanti saat ini
dari dulu. Abdul Aziz tahu kalau dibiarkan anaknya pergi kali ini, Maryam akan
terus hilang daripada hidupnya. Hanya Allah mengetahui perasaannya andai itu
terjadi. Maryam itu tidak seperti Firdaus, Firhad dan Raihan. Maryam itu ibarat
bunga di taman larangan. Ada tiga kumbang menjaganya. Hanya dia sahajalah bunga
dalam keluarga. Cuma Abdul Aziz tersilap percaturan dengan Maryam. Anak gadis
yang secara fitrahnya lebih mengikut kata orang tua menjadi anak yang paling
susah ditangani. “Awak bagitahu dia, saya tak bagi.”, sekali lagi teh dihirup
menghabiskan baki. Abdul Aziz melangkah ke dalam bilik tidurnya.
Maryam menyorok di dalam bilik ketika ayahnya keluar dari dapur. Hatinya
libang libu mendengar kata-kata ayahnya tadi. Dia berdiri dalam gelap yang
hanya diterangi dengan samar cahaya dari luar bilik. Kedengaran bunyi pintu
bilik ayahnya ditutup. Dia keluar dari bilik dan ke dapur perlahan-lahan. Dari
pintu dapur, dia melihat belakang badan emak yang sedang mengemas pinggan dan
cawan yang ayah guna tadi. Dibawa ke sinki dan dibasuh teliti. Sederas air yang
sedang mencurah membilas tangan tua emak, begitu juga derasnya hujan dalam hati
Maryam.
Norjinah menoleh ke belakang apabila dia merasakan ada yang sedang
memerhatinya. Maryam. Daripada bentuk air muka anak perempuan tunggalnya itu,
dia sudah tahu. Dengarlah cakap ayah
Maryam. Matanya berkata dalam diam. Maryam
dah tahu mak, dah tahu. Apabila anak gadisnya itu sudah berpaling dan
berlalu pergi, Norjinah hanya mampu menunduk. Tangannya menyentuh air yang
sejuk.
Dari dalam bilik, Maryam mendengar siaran radio dari telefon bimbit. Dia
masih menangis. Air mata lesu masih basah pada kolam mata, pipi sehingga ke
leher. Liputan secara langsung perjalanan ke ISS Dr. Syeikh Muszhaffar Syukor
sedang bermain. Lampu dari luar bilik berdekatan dapur dimatikan emak yang
terakhir di dapur. Maryam bangkit dari baring dan menarik langsir. Tingkap bilik
dibuka. Dari balik bukaan tingkap, dia melihat langit yang gelap pekat. Tanpa
bintang. Sama seperti dirinya yang belum berbintang tika itu. Sama dengan
hatinya yang gelap suram. Kapal angkasa Soyuz buatan Rusia sudah akan berlepas.
Countdown sudah bermula. Sebaik countdown berakhir dan sorakan dari
dalam konti radio gegak gempita, Maryam memejam matanya rapat. “Nah, saya tak nak dia pergi jauh sangat.
Dia perempuan.”, ayat itu berulang tayang dalam minda. “Awak bagitahu dia, saya tak bagi.”. Esakannya yang sudah mereda
datang lagi. Halus dan kemudian makin berat. Ayah, maafkan Maryam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan