Ahad, 19 Januari 2014

Aku, Dia, Dan Mereka


You’ve stood and laid
Almost as plain as my yellow curtain
Witnessing stories after another
January to December
You’re full with treasures
Hidden on your broad scenery
Left untouched and sorry
Means only for those who searching

Andaikan hidup kita ini ibarat sebuah carta Gantt. Berjadual dan berfokus. Sudah tentu setiap orang akan berjaya. Tiada yang akan menangis. Tiada yang akan gagal. Kerana setiap orang sudah tahu jalan hidupnya dan tidak akan menyimpang daripada perancangan yang sudah tertulis. Tetapi, hidup kita bukan begitu. Tiada orang mampu meramal apa-apa yang akan berlaku esok hari. Ibu kita tidak akan dapat menjamin kita tidak akan dimarahi guru andai tidak siap latihan. Ayah kita tidak mampu berjanji yang dia akan dapat membawa kita ke Sunway Lagoon pada hujung minggu. Kawan kita tidak akan selalu jujur dengan kita.
Jadi, akhirnya setiap daripada kita hanya menjalani hidup kita kerana kita masih bernyawa, sehari demi sehari. Aku juga begitu. Menjalankan hidupku seperti orang lain. Orang lain bangun pagi, aku juga. Orang lain makan, aku juga makan. Orang lain tidur, aku juga tidur. Tetapi, ada sesuatu yang aku suka lakukan setiap hari. Aku suka memerhatikan tasik yang aku lihat setiap hari sebaik terjaga. Setiap hari aku melihat orang lalu lalang di tasik itu, tasik Harapan namanya. Bersama cerita masing-masing. Aku tidak mahu terlibat dengan cerita mereka, tetapi akhirnya aku tidak dapat mengelak. Tidak mampu mengelak kerana cerita mereka, membentuk ceritaku. Kini, ingin aku persembahkan cerita-cerita mereka itu. Kalian dengarlah dengan teliti kerana hanya aku yang mengetahui cerita-cerita itu.

Amma, Walk Faster

                Setiap pagi, saat aku bangun subuh untuk solat, aku suka menyinggah di pantri. Sambil mencuci muka, aku terdengar suara kanak-kanak. “Amma, walk faster!”, suara itu berbunyi. Lantas, aku tidak dapat menahan diri merenung pekat warna suasana tasik di hadapanku di waktu subuh itu. Aku yakin, suara itu punya nyawa yang mengungkapkannya. Aku lihat di lorong pejalan kaki yang mengelilingi tasik, seorang kanak-kanak dengan pinafore biru gelap, berlari-lari anak sambil menjerit memanggil seseorang. Aku amati lagi dan kini terlihat imej ibunya yang baru keluar dari balik pokok-pokok besar. “Amma, I’m late for school. Come on, faster!”, sekali lagi.
                Aku senyum kerana tiba-tiba aku teringat emak di kampung. Dahulu, aku juga begitu. Kemudian, ibunya berlari anak mendekati si anak yang sudah beberapa langkah di hadapan. “Yes, wait for Amma.”, laungnya dalam mengah mengejar. ‘I’m old now’, lirih hatinya yang tidak siapa tahu. Tiada siapa tahu sehingga pada suatu hari. Aku tidak tahu, perempuan tua itu bekerja di kafe asrama tempat aku menginap.
                Selepas aku mengetahuinya, aku jadi rajin ke gerainya. Padahal lauk-lauk yang terhidang di situ sama pada setiap hari. Sayur kubis goreng, ayam goreng, papadom goreng, kuah kari, nasi putih, dan sambal asam. Itulah jenis makanan yang aku makan setiap kali aku ke gerainya.
                Suatu hari aku mendapat tahu namanya. Auntie Durga. Anak perempuannya berusia 11 tahun bernama Lekashnee. Lekashnee akan ke gerai pada waktu subuh kerana Auntie Durga perlu membuka gerai. Kemudian, dia akan ke sekolah dengan bekal makanan dalam tupperware kuning hijau. Botol air tergantung pada bahu kanan bergambar Barbie warna biru laut. Sebelum ke sekolah, dia mencium pipi Auntie Durga di kiri dan kanan. Setelah itu, berjalan bersendiri melangkah dengan beg sandang di belakang dan beg bimbit dibimbit dengan tangan kanan.
                Pernah suatu pagi subuh, aku duduk di kafe menunggu bas untuk ke kursus. Aku lihat Lekashnee berjalan ke gerai sambil mulutnya becok bersuara, “Amma, I will late to school. Please Amma, walk faster. Faster Amma, faster!These vegetables I’m carrying is very heavy Amma. Faster!”. Dari jauh aku memerhati, kanak-kanak perempuan bertocang dua itu dengan dua beg plastik besar yang dibawanya. Auntie Durga tiba sambil membawa satu lagi bekas plastik berisi empat ketul sayur kubis. Sebaik meletakkan dua beg plastik besar di atas meja, Lekashnee membasuh tangannya di sinki dan menghampiri ibunya. “Amma I’m going now. See you Amma, I love you.”, selepas mencium ibunya, dia pergi seperti biasa.
                Auntie Durga akan melihat anaknya pergi sehingga tubuhnya hilang daripada pandangan. Kemudian, dia mula mengeluarkan sayur-sayuran daripada beg plastik dan mula membasuhnya. Aku masih leka memerhati. Tanpa aku sedar, lagu pada pemain lagu sudah bertukar kepada We had today oleh Rachel Portman. Beberapa kali Auntie Durga berhenti sebentar sambil menongkat tubuhnya dengan lengan pada sinki. Kepalanya ditundukkan dan pinggangnya dielus-elus. Seketika, dia mengangkat pandangan dan mengerdipkan mata beberapa kali. Setelah itu, dia menyambung kembali kerjanya.
                Lekashnee anak yang cerdas. Dia petah berkata-kata. Aku selalu melihatnya pada waktu petang di gerai sambil duduk di meja berhadapan gerai. Membuat latihan dan kerja sekolah. Pernah sekali, aku duduk di meja bersebelahan. Aku mendengar tutur katanya membaca. Seperti biasa, aku sedang menjamu selera menu yang sama. Auntie Durga datang meletakkan pinggan berisi nasi dan lauk sayur kubis bersama ayam goreng berkuah kari. “Thank you Amma.”, tanpa menoleh Lekashnee meneruskan bacaannya. “Finish your food.”, tegas arahan Auntie Durga kepada anak perempuannya. Lekashnee menoleh kepada makanan di sebelah kanan dan memanggil Ammanya. “I told you many many times Amma. I hate cabbage! I hate caggabe. I don’t want to eat cabbage.”. “You better finish up your food, or I will not buying you uniform! I’m serious. Eat Leka.”, aku memerhati dari ekor mata Auntie Durga sedang memarahi anaknya sambil tangannya ligat mengelap meja. Lekashnee merajuk dan menghempas bukunya. Auntie Durga perasan dan berhenti mengelap. “Leka! Lekashnee come back here! Why you do this to me? Leka!”, namun Lekashnee terus tetap berjalan meninggalkan ibunya. Putus asa, lalu Auntie Durga mengeluh seketika.
Tidak tertelan nasi yang berada dalam mulutku. Aku merenung lewat ekor mata tampang Auntie Durga. Dia tersentak daripada lamunannya apabila seorang pemuda Melayu menegurnya. Mataku beralih pada makanan atas pinggan yang tidak terusik. Beralih kepada helaian buku yang terselak-selak apabila angin daripada kipas meniup. Pada hari yang sama, aku sedang duduk bersantai sambil membaca Aku Darah Anak Malaysia (ADAM) bersendirian. Duduk bersandar pada dinding di atas katil di tepi jendela menghadap tasik. Apabila mataku penat membaca, aku kalih sebentar pandangan ke arah tasik yang sudah mula menunjukkan remang maghrib. Mata ini tertancap pada Auntie Durga yang berjalan perlahan-lahan. Dia berhenti sebentar untuk duduk di bangku. Kemudian, tangannya mengurut-urut pergelangan tangan dan pinggang yang keletihan. Peluh pada dahi diseka dengan hujung lengan baju. Beberapa minit berlalu, kemudian Auntie Durga berlalu.
Selang beberapa hari, aku melihat Lekashnee sedang berjalan menuju ke kafe dari perhentian bas. Dia tersenyum senang sambil memakai Dobak. Kemudian sebaik aku tiba di kafe, dia sedang menunjuk beberapa langkah Tae Kwon Do di hadapan Auntie Durga dan dua lagi teman sekerjanya di gerai. Auntie Durga yang sedang mencuci dulang dan pinggan tersenyum senang. “Amma, look at my steps. Getting better, isn’t it? Getting better. Amma remember you promised me the watch. I want it soon Amma.”, Auntie Durga hanya menunjukkan jempol tanpa menoleh. Senyumannya masih mekar walau tidak bermaya.
Januari tahun ini sudah menampakkan dirinya. Kertas terakhir peperiksaan sudah selamat aku duduki petang tadi. Malam ini, aku berkira-kira untuk mengemas barang. Esok tarikh tiket aku pulang ke kampung. “Kakak bertolak pukul berapa nanti?”, kata emak lewat telefon petang itu. “11.00 malam mak. Mak nak order soto sampai rumah nanti.”, menyengih sahaja aku sambil meletakkan beg sandang atas meja kafe. Niat di hati hendak membeli makanan untuk makan malam terus. “Boleh. Ah, hati-hati balik. Jangan gusu-gusu. Kau tu suka nak cepat je.”, talian diputuskan selepas kami berpamitan. Aku melangkah ke gerai Auntie Durga. Lekashnee tidak ada di situ. Mungkin latihannya belum selesai, aku berkira dalam hati.
“Lauk dah banyak habis la adik. Mau Auntie gorengkan ayam lagi ka?”, Auntie Durga bertanya tatkala melihat aku menguis-nguis bekas ayam goreng dengan penyepit. “Takpe Auntie. Saya makan papadom. Ada lagi?”. “Ada, ada kejap. Tambah nasi adik. Penat baru balik jawab periksa ka?”, sekeping papadom sudah diletakkan dalam pingganku. Kemudian, Auntie Durga menambah satu lagi. “Haah. Eh satu je Auntie.”, Auntie Durga sedang menutup tin bekas papadom. “Tapa la adik, papadom saja. Auntie tengok budak-budak sini macam Leka saja la. Anak mau makan kasi apa saja.”, di akhir kata-katanya terselit seribu penyesalan yang aku dengar. Aku jadi teringat pada peristiwa Lekashnee merajuk.
Sedang aku makan, aku lihat Auntie Durga duduk sebentar di kaunter dan mengurut-urut kaki. “Terseliuh ke Auntie?”, sekadar berbasi-basi sedangkan aku sudah mengetahuinya. “Biasalah dik. I’m old now.”, sayur kubis goreng aku telan. Dalam mindaku terngiang-ngiang sesuatu, “I hate cabbage! I hate cabbage!”. Lekashnee. Hatiku berbisik.Auntie sakit apa?”. “Osteoporosis. Tulang sudah tua la adik. Sakit semua.”, senyumannya terukir beberapa saat sebelum kerutan muncul kembali. Air mukanya sedikit keruh. Perbualan kami mati di situ.
Esoknya, aku bangun lewat. Hampir menginjak ke pukul 10 pagi. Di kafe, aku lihat kafe tempat Auntie Durga bekerja tutup. Sunyi sahaja. Tiada pilihan, aku bertandang ke kafe sebelah. Sedang aku menikmati makanan tengah hari, aku lihat Lekashnee berjalan perlahan-lahan sambil ditemani seorang lelaki dewasa berumur lewat 60-an dan dua teman sekerja Auntie Durga. Mereka membuka separuh penutup gerai dan Lekashnee duduk di kerusi di kaunter. Tempat Auntie Durga selalu duduk mengurut pergelangan tangannya tatkala dia lelah memasak dan mencuci pinggan mangkuk. Wajah Lekashnee kosong. Tangannya menekan punat pada mesin daftar tunai dan bunyi laci keluar bergema. Aku mencuri lihat tidak jauh dari situ.
Tiba-tiba aku mendengar Lekashnee menjerit. Menjerit, meraung sambil menangis. Dia menggenggam seutas jam tangan berwarna merah jambu sambil menekannya pada dada. Lelaki 60-an itu memeluknya dan turut mengalirkan air mata lesu. Bibirnya bergetar menahan suara tangisan. “Amma! Amma...Amma...”, Cuma itu yang sering diulang-ulang sebut Lekashnee. “I am so sorry Amma. I’m sorry Amma. I promise I’ll finish up my food. I ‘ll eat cabbage. I will not getting angry with you Amma. I promise Amma. AMMA...”,aku tidak mengerti. Nasi yang sedang ku jamah hanya aku kuis-kusi dengan jari. Mataku sudah sepenuhnya tertancap pada keluarga itu. Pada orang-orang yang sedang menangis. Pada pengunjung kafe yang juga turut terpaku. “She’s dead. Auntie Durga is dead. Last night, a car hit her on the zebra crossing. A hit and run.”, aku menoleh sekali imbas gadis Cina selang dua kerusi dari tempat dudukku. Dia juga sedang memerhatikan Lekashnee. Suara tangisan Lekashnee dan janji-janjinya pada ibunya berulang-ulang kali disebut. Innalillah.
Selepas bersolat maghrib malam itu, aku terduduk sebentar atas sejadah. Merenung kembali perkenalan singkatku dengan Lekashnee dan Auntie Durga. Perkenalan yang singkat sahaja namun, aku seolah-olah sudah mengenal dirinya jauh lebih lama daripada itu. Melihat diri Lekashnee, aku seperti melihat diri Salima, rakan waktu kecil di sekolah rendah. Salima juga sekecil dan secergas Lekashnee dan dia suka melukis gambar bangunan. Dia juga banyak merungut namun impiannya besar. Impiannya apabila sudah dewasa dia akan membuka muzium lukisan bangunan seluruh dunia. Kedengarannya sangat keanak-anakan, tetapi cukup membuat kami yang mendengar di atas pangkin sambil mengunyah rambutan curi waktu itu melongo dan terangguk-angguk. Namun, impian besarnya itulah yang membawa ibunya pergi. Harga impiannya itu ialah nyawa ibunya. Oh ya, dimana dia sekarang ya? Tidak aku dengar dimana-mana kalau telah wujud muzium lukisan bangunan sampai ke hari ini.  Kemudian, aku juga teringat kepada karma Hindu. Mungkinkah nanti Auntie Durga akan lahir semula sebagai wanita yang lebih bahagia. Allah sahaja yang tahu. Aku senyum kecil. Tanganku tadah dan lidah mula memuji Allah. Basmallah. Al-fatihah kepada ibu Salima dan Auntie Durga.


Si Jari Kecil

                Kisah ini tentang cinta. Benar, aku tidak berbohong. Sekarang, aku ingin bertanya, faham benarkah kalian dengan makna cinta? Jangan jawab dahulu sehingga aku selesai menyampaikan kisah ini kerana boleh jadi jawapan kalian akan bertukar. Aku tidak mahu mengajar kalian menjadi tidak cekal dan goyah pendirian. Aku mahu kalian pegang pada kata hati dan peraturan hidup kalian. Janji padaku.
                Aku mengenal salah seorang daripada mereka. Siapa mereka itu? Mereka itulah yang akan aku kisahkan. Haliza dan Zaheer. Seorang berasal dari utara dan seorang lagi selatan. Aku mengenal yang berasal dari selatan itu. Zaheer. Zaheer seorang pemuda yang aku jumpa sejak dari zaman sekolah rendah. Zaheer yang namanya bermaksud pelindung. Perkenalan Haliza dan Zaheer terjadi di tasik itu. Tasik Harapan. Selepas lebih kurang dua minggu sesudah minggu suai kenal universiti. Haliza belajar dalam kursus Sains Kaji Hayat dan Zaheer dalam bidang Ekonomi.
                Pada suatu petang, aku dan lima lagi rakan termasuk Zaheer sedang berbincang di bawah pondok. Kami bercadang membeli tiket pulang ke kampung bersama-sama. Pondok itu terletak bersebelahan dengan tiang lampu elektrik yang tinggi. Di hadapannya pula ialah denai dan lorong pejalan kaki mengelilingi tasik. Pondok ini dibina lebih tinggi daripada kawasan padang rumput yang agak sendeng. “Aku beli.”, aku ingat kata-kata Zaheer petang itu. Kami melihat Zaheer sekali imbas dan kemudian berpandangan sesama sendiri. Spontan, semua mengangguk. “RM 60 sorang. Nanti ada lebih aku pulang.”, katanya semangat. Ketika sedang mengira duit, sekeping not RM5 terbang ditiup angin. Zaheer yang duduk di hujung pondok melipat badan kebelakang, cuba mencapai duit itu. Namun, dia pula yang sudah terjatuh di sebelah sana berdekatan lorong pejalan kaki. Sedang kami kalut membantunya berdiri, ada seseorang menghampiri. Dia datang menyerahkan not RM5 kepada Zaheer. Mereka saling berterima kasih. Dia itulah Haliza.
                Jangan kalian tanyakan lebih lanjut kisah perkenalan mereka yang seterusnya kerana aku memang tidak mengetahui. Zaheer itu terlalu kedekut. Zaheer itu terlalu menyimpan rahsianya sendiri. Rahsianya disimpan sendiri sehingga membawa malapetaka besar. Sejak itu, Zaheer yang aku kenal riang dan becok bercakap itu dan ini bisu sebisu-bisunya. Wajahnya hilang seri dan selalu hilang tanpa ku duga. Rupa-rupanya ada rahsia besar yang disimpannya. Ada nyawa hidup dalam rahim Haliza.
Ketika itu, mereka sudah di tahun tiga. Dua tahun aku melihat mereka bersama. Haliza yang aku kenal pendiam dan sopan. Tudungnya labuh di dada dan pakaiannya jauh lebih besar berbanding tubuh. Bagai ada perisai halimunan yang menjaga diri Haliza. Dia sangat unggul di mataku. Tetapi, petang pada hari jumaat sebelum bercuti panjang, aku lihat dia bersendiri dan termenung di pantri. Matanya merenung kosong tasik di sebalik tingkap.
Cuti bulan Julai tahun itu sungguh gelap untuk Haliza. Keseronokan  mengemas barang bersama teman sebilik tidak terasa. Waktu juga berlalu tanpa dia sedar. Ketika dia sedang duduk di pangkin pantri sambil kakinya terayun-ayun perlahan, aku beranikan diri melangkah mendekati. “Haliza.”, dengan hampir tidak kedengaran, aku menyapa. Dia menoleh dan menarik baju sedikit menutupi perut yang sudah mula menonjol. Aku faham. Dia malu. Aku kira dia kini sudah hamil lima bulan. Kawasan asrama semakin sunyi. Dek kerana itu, aku fikir sesuai kiranya aku bertanya saat tidak ada orang akan mendengar.
Aku duduk di tepinya. Melihat dia menekur lantai. “Haghitu Liza ikut Zaheer pi rumah kawan dia.”, aku tertarik. Halus suaranya. Haliza menyingkap sedikit tirai hati. “Kami pi naik gheta. Gheta sewa.”. “Lewat sangat dah kami balik. Hujan lebat. Dia stop sat kat R&R.”, suaranya mula berat. Bahunya mula terhinjut-hinjut. Haliza menyepi buat beberapa ketika. Tangan kanannya mula mengelap mata beberapa kali. Aku lihat ada kesan basah air mata pada peha. Haliza menangis. Menangis tanpa ada suara yang keluar. “Lepastu...”, tanpa menunggu balas kata daripadanya, spontan aku mendakapnya. Erat. Haliza juga sudah tidak dapat menahan perasaannya. Dari telinga sebelah kiri, aku dapat menangkap suara erangan kuat datang daripada dalam diri Haliza. Rasa hatinya yang ditanggung sejak beberapa bulan sudah. Sejak, dia tahu haidnya berhenti serta merta. Sejak, dia mula merasa kejang dipagi hari. Sejak Zaheer berdiam diri apabila berita itu sampai kepadanya. Sejak dia berhenti menghubungi keluarga di kawasan hamparan padi luas tanah Pendang. Sejak hatinya jadi sekecil nyamuk. Dari sebalik tingkap, aku merenung pondok yang jadi takdir pertemuan Haliza dan Zaheer.
Telefon tidak bersambut. Aku mendail sekali lagi. Apabila sekali lagi, talian tidak bersambut, aku berputus asa. Kalendar pada papan kenyataan aku pandang. Bulan Julai. Aku terpandang tanda hati berwarna hijau pada tarikh 30 Julai. Kak Mastura bernikah. Lagi dua minggu. Kakak Zaheer akan menikah. Hati aku berdetik. Dia sudah di selatan. Pantas aku mendail nombor Abang Farid. “Bang, tiket balik Batu Pahat malam esok ada bang?”. “Belakang sekali? OK. Esok saya ambik tiket.” ,dan sejurus itu terus aku mencapai beg travel dalam almari.
Pagi keesokan harinya, aku menemani Haliza sehingga di Terminal Butterworth. Akhirnya, dia akan pulang ke kampung. “Mak ayah Liza...”, dia duduk di bangku sambil menggenggam erat tanganku. Suaranya tenggelam timbul ditelan hiruk pikuk suasana perhentian bas. Dalam kepayahan, dia cuba mengambil sedikit semangat daripadaku. “Depa akan paham. InsyaAllah.”, sambil mengangguk, aku menyalur kekuatanku untuknya. Untuk bakal ibu muda itu. Kemudian, apabila dia sudah menapak ke perut bas, dia toleh sekali kepadaku. Aku senyum dan menunjukkan jempol padanya. Aku lihat wajahnya keruh. Dalam hati, aku titip doa agar Allah memudahkan urusan Haliza, bayinya dan bapanya yang masih dalam bayang-bayang noda. Aku titip doa agar kanak-kanak gempal yang membawa beg tarik berwarna merah hati itu akan kembali menjadi dirinya. Aku mahu lelaki itu hidup semula. Zaheer.
Apakah makna cinta pada kalian? Kalian fikir benarkah Zaheer benar cinta akan Haliza? Bertemu Zaheer pada penghujung bulan Julai tahun itu, aku tidak fikir Zaheer cinta akan Haliza. Tetapi, itu sebelum dia bertemu semula dengan dirinya. Dirinya yang bagai hilang roh dek disambar burung helang pada hari dia tahu zuriatnya sedang tumbuh dalam diri Haliza. Sebaik aku tiba di kampung pada pagi subuh hari itu, aku terus bertandang ke rumah keluarga Zaheer. Ibunya menyambut di kebun bunga ros sambil memegang hos air. Senyumnya lebar bagai tiada apa-apa yang sedang berlaku. Aku lihat rumah Cik Lah ini sudah berubah warna. Biru laut berganti hijau. Sebaik mendengar namaku diseru ibunya, si lelaki yang hilang roh itu muncul pada muka pintu. Mata kami berlaga.
Pagi itu, kami duduk di bangku simen bawah pohon mempelam. Air sirap ais dihidang ibu Zaheer aku hirup sekali. Beberapa buah motosikal lalu lalang di hadapan rumah. “Kenapa kau lari?”, aku bertanya terus. Zaheer menikus. Dia menunduk dan dahinya berkerut. “Kau tak takut kat Allah?”. “Sebab aku takutlah! Aku lari.”, Zaheer menjawab sambil menekan suaranya. Bagai menahan perasaannya daripada terus terhambur.
 Aku menghela nafas sekali. “Kau ingat masa kita kecik dulu. Masa kita curi rambutan kat rumah Wak Surip. Kau sorang je yang tak nak makan. Kat sini Heer. Kat sini kita makan rambutan tu. Dengan Din Bulat, Aren, Nana, Pain. Kau tak ingat?”, kelopak matanya bergenang sambil dia membuang pandang ke arah lain. Mengelak pandangan mataku. “Kau ingat lagi kenapa kau tak nak makan. Kau cakap mencuri tu dosa. Kau tak nak masuk neraka macam kitorang. Rambutan tu bukan hak kau. Bukan hak kita. Kita curi.”, setitik air matanya jatuh tanpa diseka. Air mata lelakinya tumpah. “Kau pandai bercakap pasal hak, pasal dosa, pasal neraka. Kalau waktu tu kau tak nak makan sebab kitorang ni pencuri. Hari ni kau pun pencuri.”, kali ini aku sudah mula berdiri. Dia aku lihat sudah mula menongkat dirinya dengan lengan sasa sambil terhinjut-hinjut menahan suara esak tangis. Dia bagai Zaheer kanak-kanak kecil yang aku kenal bertubuh gempal berbeg tarik warna merah hati. “Kau dah curi hak Liza dengan anak kau. Sekarang kau sama macam kitorang. Sama .”, kemudian dia terus terduduk. Menangis dan terus menangis.
Aku tidak menyangka pada sebelah malam, perang besar berlaku di rumah berwarna hijau itu. Aku jadi saksinya Zaheer dipukul teruk Cik Muhamad. Bibir kanannya pecah berdarah. Cik Lah pula sudah terjerit-jerit menumbuk dada Cik Muhamad. Kak Mastura memerhati sambil berdiri dengan wajah tidak percaya. Dia tidak mahu masuk campur. “Buat malu aku! Buat malu aku!”, aku memerhati sambil pegun di muka pintu drama tiga beranak itu. Zaheer yang terduduk sambil wajahnya basah dengan airmata hanya terus-terusan menangis dan berdiam diri. Menerima segala kemarahan bapa. Sebaik libasan tali pinggang yang terakhir dihayun pada belakang badan Zaheer, Cik Muhamad jatuh terjelepok di lantai. “Aku dah beli motor biar kau senang nak pergi kerja. Aku dah simpan kat bangsal. Aku nak bagi kau naik cuti nanti.”, dia menangis. Aku juga menangis tanpa aku sedar. “Abah...abah nak cakap apa kat orang kampung Heer. Abah...”, Cik Muhamad sudah tidak dapat membendung rasa kecewanya. Kupiahnya sudah senget atas kepala berambut peraknya. Baju melayunya juga sudah lencun dengan peluh dan airmata. “Allah...”. Besar sekali harga cinta Zaheer pada Haliza.
Masih aku ingat, bulan November tahun itu. Sebelum subuh lagi, aku dan keluarga bergegas ke Hospital Besar Sultanah Nora Ismail. Tenang suasana pagi tidak setenang hati-hati manusia yang sedang duduk di luar wad bersalin. Zaheer masih di dalam menemani Haliza. Cik Muhamad tidak kelihatan. “Dia solat kat surau.”, kata Cik Lah. Aku turut membaca surah Yasin mohon dipermudahkan urusan Haliza di dalam sana. Lupa aku khabarkan pada kalian. Siapa Haliza pada Zaheer kini. Aku sudah katakan, pandanganku pada Zaheer sudah berubah. Aku jadi berubah prinsip apabila aku tahu esoknya sesudah Zaheer dibelasah teruk Cik Muhammad, mereka sekeluarga terbang ke Alor Setar. Mencari semula tanggungjawab Zaheer yang tertangguh di tanah Pendang. Tuhan maha adil, siapa menyangka dalam kepayahan Haliza cuba lari daripada keluarganya, kedua-dua orang tuanya menerima dengan redha takdir anak sulung dalam keluarga itu. Mereka lebih mengenali Haliza berbanding orang lain.
Zaheer tiba bersama Cik Muhamad dan Cik Lah lewat petang sesudah asar sejurus ayah Haliza, Daud tiba dengan motor buruknya dari surau. Terkejut Daud menerima kehadiran sekeluarga itu. Masih bersopan walaupun anak lelaki keluarga itu sudah meranap maruah keluarganya, dijemput sekeluarga itu naik ke rumah papan bertabir tanah sawah. Haliza ketika itu sedang mengait stoking bayinya di bilik sebelum dikhabarkan ibunya Hidayah akan peminangan keluarga Zaheer. Air matanya menitis laju dan stoking yang separuh dikait itu didakap ke dada. Hidayah pula memeluk dari belakang. Tanah bendang dari balik jendela papan yang terbuka luas itu jadi saksi kalau cinta itu harus punya tanggungjawab.
Kini, terjawab bukan siapa Haliza pada Zaheer? Haliza ialah cinta Zaheer. Tanggungjawab Zaheer yang dititip Allah lewat takdir yang tersurat tidak seindah insan lain. Siapa pula Zaheer pada Haliza? Zaheer itu lahir ke dunia yang sudah ditetapkan Allah sesuai namanya. Pelindung. Pelindung kepada Haliza dan anak mereka dengan cinta yang dianugerah Allah. Cinta itu anugerah. Cinta andai tidak disandarkan pada tanggungjawab akan menjadi hawa nafsu. Hawa nafsu pula menjatuhkan martabat manusia.
Aku memanggil anak Zaheer dan Haliza, si jari kecil. Entah kenapa, sejak kali pertama aku melangkah dalam wad bersalin itu, aku terlihat kaki kecilnya dahulu. Sedikit terjuntai ketika Zaheer mengiqamahkannya sebaik azan subuh berhenti. Nama sebenar si jari kecil ialah Maryam. Seteguh Maryam mengemudi hidup bersendirian dek fitnah, suami isteri itu berharap si jari kecil juga akan mampu. Hidup mereka baru hendak bermula sebenarnya. Beberapa tahun berlalu apabila Maryam sudah mula pandai mengeluarkan kosa katanya, Haliza berkata kepadaku. “Liza takkan dapat dengaq Maryam sebut Mam..ma..kalau Liza mengalah waktu tu.”, dia senyum sambil memerhati Maryam bertatih di halaman rumah mereka sambil menunggu ayahnya pulang daripada kerja. Aku juga hanya mampu tersenyum.
Tasik Harapan itu banyak ceritanya. Sejak aku pertama kali sampai di universiti, aku sudah mengenal tasik itu. Aku mengenali insan-insan itu di tasik itulah. Tasik itu membina sebahagian jalan cerita hidupku. Sebaik Auntie Durga meninggal dunia dan tidak lama kemudian, Haliza mengandung, aku mengarang puisi itu dalam hatiku. Kemudian, aku potretkan dalam buku catatan warna hitam putih buat pengajaran dan kenang-kenangan. Aku bukan mahu bercerita sedih, tetapi tasik itu selalu sahaja memberi cerita sedih padaku. Benarlah dalam luas pemandangannya yang terhampar, tersembunyi bermacam rahsia. Rahsia itu dikhabarkan pada sesiapa yang mahu memikirkannya. Sesudah aku, siapa ya? Mungkinkah kalian?




Tiada ulasan:

Catat Ulasan