Isnin, 27 Mei 2013

Dunia Kecil Itu






Aku sudah melalui jalan ini selama 16 tahun. Dan pada tarikh 16 Julai ini masa itu akan bertambah menjadi 17 tahun. Aku dapat merasakan tekanannya di sini-sana. Sebaik aku melangkah keluar melepasi pagar rumah, senario yang sama akan terus berulang. Tidak akan pernah berubah.

 Aku bosan dengan abah yang hanyut dengan dunianya. Dunia persekolahan yang mencekik. Peperiksaan yang mengganggu dan bayangan masa silam yang menghantui. Apatah lagi ketika aku lalu di kelas oren itu. Bayangan penghuninya yang sedang beraktiviti. Dada akan menjadi sesak serta merta. Apabila aku sampai dan duduk di gazebo, penghuni-penghuninya juga menghantui aku.

 Emak pernah mengajak aku tinggal bersamanya. Sengaja aku tolak kerana tidak sanggup melihat kemesraannya dengan ‘abah’ baru. Aku pelik melihat tindak-tanduk orang dewasa yang berlagak seolah-olah handal menyelesaikan segala masalah. Walhal, mereka sebenarnya mencari masalah sendiri. Dan kemudian aku menjadi mangsanya.

            Pagi itu, aku mendapat satu tugasan. Menulis esei. Tidak susah sebenarnya menulis esei. Namun, pagi itu, aku terpempan.
“Kenangan zaman kanak-kanak?”, Cikgu Tan hanya mengangguk. Cikgu Cina ini kemudian tersenyum.
“Tak ada zaman kanak-kanak ke? Saya ingat ada pertaliannya. Zaman kanak-kanak ialah zaman belajar mengenal hidup. Zaman remaja, ya zaman yang sedang awak lalui sekarang ini, hah tentunya untuk menyesuaikan diri pula dengan hidup.”, aku terkedu, lidah terkelu.

Sehari suntuk aku memerah otak. Sekejap termenung, menonggeng, meniarap, tetap juga idea tidak mahu menyinggah. Penat terasa seluruh tubuh badan, aku meneguk air mineral di dapur. Sebaik menutup pintu peti sejuk, mata aku seakan terhenti. Pelekat magnet dengan lukisan rumah di atas bukit itu menarik perhatian. Sedangkan telah lama pelekat itu tertampal di situ. Fikiran aku menerawang. Jauh merempuh jaluran masa dalam arkib memori. Apabila jari telunjuk kanan menyentuh pelekat itu, cerita lama itu terimbau. Sedikit demi sedikit…


~Imbas kembali~

Matahari semakin terik. Pad menunggang pada basikal apabila aku sentuh terasa panas membakar kulit. Untung sahaja ada pokok besar di sini. Dapat juga menumpang teduh. Beg sekolah warna merah darah yang tersangkut atas dahan pokok aku tenung. Kemudian mengeluh. Akhirnya, aku cuba menyentuh kulit pokok kasar dan menggerutu, kalau tidak, sampai sudah tidak kan pernah beg itu melayang kepada aku. Kaki kanan aku daratkan sambil mengucap basmalah. Kain sekolah warna biru tua aku singsing sampai ke paha. Ikatan rambut pula sudah lama terlerai selepas pergaduhan tadi. Abon itu memang tinggi dan besar orangnya. Ramai yang tidak percaya umurnya baharu 11 tahun. Kalau tidak bergaduh dengan Abon tadi, pasti sudah lama aku sampai di rumah.


Tenaga aku kerah sampai aku dapat rasakan badan aku sudah melekap pada pokok. Jarak kaki dari tanah pula hanya sejengkal. Bagaimana hendak dicapai beg itu dengan lagak memanjat pokok sebegini. Akhirnya, aku menjerit sendiri.

“Aaaaahhhhhhhhhh….Aaaabonnnnn…..”, mata aku terpejam rapat menahan silau.
Bergema-gema jeritan itu ke pelosok kawanan lalang merimbun.  

Tiba-tiba aku terdengar bunyi basikal menghampiri dan ditongkatkan. Refleks mata terbuka sedikit-sedikit. Dari bukaan kecil kelopak mata, aku lihat seorang lelaki dewasa berjalan sambil meletak beg selimpang atas tanah. Dia mencekak pinggang, memandang aku.

“Kenapa?”, rona wajahnya garang dan menakutkan.

Aku telan liur sendiri. Kain tersingkap aku tarik sedikit ke bawah, dan perlahan-lahan kaki menjejak tanah semula. Rambut kusut aku lurut dengan jari ala kadar dengan pantas. Kemudian, aku berdiri tegak di hadapannya. Aku mendongak untuk melihatnya. Ketinggian budak sekolah rendah dalam darjah empat tidak akan mampu menyaingi ketinggian orang dewasa.

“Eh, tak ada mulut ke?”, suaranya meninggi.

Dia berjalan laju ke arah aku dan menepuk debu pada lengan baju, rambut dan, pipi. Aku hanya diam walaupun tubuh aku turut terayun-ayun apabila dia membersihkan debu yang terlekat.  Sesudah itu, aku menunjuk ke arah beg yang tersangkut atas pokok. Matanya menurut ke arah yang aku tunjukkan. Dia mengeluh.

“Usu dah cakap jangan kawan dengan budak lelaki. Degil. Bergaduh lagi.”, Usu pantas memanjat pokok, manakala aku hanya memerhati.

            Kali ini sahaja sudah empat kali Usu mengingatkan aku tentang isu ini. Usu selalu berkata, budak lelaki kasar, dan Usu tidak mahu aku menjadi kasar seperti mereka. Pernah Usu mencarikan aku kawan perempuan, adik kepada Kak Huda. Namun, tidak sampai pun satu jam berkenalan, adik Kak Huda menangis hendak pulang. Jarinya luka digilis rantai basikal aku. Selepas itu, Usu tidak pernah membawa Azah, adik Kak Huda berjumpa aku lagi.

            Usu sudah mendapatkan beg aku semula. Beg itu disumbat dalam bakul basikalku. Basikal Usu, Usu dapatkan. Dia sudah berkira-kira untuk pergi, lalu dia memanggil aku.

“Ji, cepatlah! Usu dah lapar ni.”, aku diam dengan muka masih berkerut.
“Yelah, Usu tak cerita kat mak.”, bahu kanan aku terasa berdenyut-denyut akibat tumbukan padu Abon.
“Usu kira sampai tiga...satu...”, angin singgah sebentar menerbangkan urat-urat rambut kotor aku ke kiri.
“Du....a.....”, Usu menguatkan suaranya.
“Ji, Usu serius ni...”
“Ji.....”
“Janji tak bagitau.”, aku mencapai basikal dan mengayuh laju meninggalkan Usu yang masih di bawah bayang-bayang pokok.

Aku toleh belakang sekali lalu. Tangan kanan aku usung keluar, dan isyarat janji aku unjukkan kepada Usu. Jalan di hadapan yang lengang aku pandang jauh. Jalan yang saban hari aku lalui. Angin makin kuat tandanya hari akan bertukar hujan. Kayuhan aku lajukan, apabila Usu turut berada di sebelah mengayuh basikalnya. Usu sudah tidak marah, malah sedang ketawa galak. Rambut Usu turut terbuai-buai oleh angin. Aku lihat di belakang rambut Usu, langit semakin mendung.

“Usu kacakkan?Haha...”, tangan kanan aku laju menumbuk lengan kiri Usu.

            Usulah sahabat, Usulah teman, Usulah emak, Usulah ayah, Usulah segalanya. Pada ketika itu, aku cuma ada Usu. Usu adik tiri emak, yang telah aku kenal sebaik melihat dunia ini. Dan untung sahaja Usu tinggal bersama kami. Nenek dan atuk telah lama kembali kepada-NYA. Apabila emak dan abah terpekik-pekik di tengah malam, Usu akan mencari aku.

            Sebaik ayam berkokok, emak akan bersiap-siap ke hospital. Uniform jururawat putih bersih sudah siap tersarung pada tubuh. Ketika itu, aku selalunya baharu sahaja terjaga. Usu pula sedang merapi rambut dengan sikat. Abah hari ini juga tiada, mungkin belum pulang.

“Hari ni kalau Zima bergaduh lagi, emak hantar Zima masuk sekolah pondok macam abang Zain.”, setiap pagi pun itulah yang emak akan katakan.

            Hari ini, mata emak pun sembab macam selalunya. Usu dan emak kurang bercakap belakangan ini. Mungkin peperiksaan maut Usu makin hampir. Aku pernah terdengar Azah membicarakan tentang Kak Huda dan Usu.

“Kak Huda kita kan nak kahwin dengan abang Wan.”, aku mengungsung basikal hadapan belakang, mendengar dengan bosan.
“Tapi sekejap lagi akak dengan abang Wan nak periksa STPM.”, aku hanya sempat menangkap perkataan H-T-P-M.

Azah sedikit pelat pada sebutan huruf S. Mungkin kerana itu apabila aku tanyakan Usu peperiksaan HTPM itu apa, Usu mengerut muka. Dia baru tersedar kemudiannya aku memaksudkan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Tapi Usu lebih gemar menamakan peperiksaan itu sebagai peperiksaan maut.

“Peperiksaan maut?”, aku menunggang basikal bersebelahan dengan Usu sebelum berpecah di simpang kerana sekolahnya lebih jauh.
“Kerk....kalau tak lulus. Ahahah.”, Usu membuat aksi mengelar leher dengan tangan kanannya.

            Aku masih belum mengerti apakah nilai sebuah peperiksaan seperti itu dalam hidup aku. Sungguh tubuh kecil aku ketika itu tidak akan mampu memahami erti kata kehidupan yang penuh mencabar melainkan bergaduh dengan Abon, menunggang basikal, bermain layang-layang, dan mendengar jerit pekik emak dan abah. Hanya itulah perkara mencabar yang aku hadapi, bukan peperiksaan.

            Sampai di sekolah, Abon menanti aku di pintu pagar buruk sekolah. Basikalnya aku lihat sukar siap diparkir. Dua lagi budak jahat namun bertubuh kecil seperti aku berdiri beberapa tapak dari tempat Abon berdiri. Itulah Jamil dan Azad. Pesanan emak terimbau. Aku buat tidak peduli. Jam digital bercorak askar pada pergelangan tangan kiri menunjukkan angka 6.52 pagi. Sebaik melintasi Abon dengan menyorong basikal, dia menegur aku. Tangannya menarik bahu kanan aku supaya menghadapnya.

“Hoi...!”, muka aku berkerut menahan sakit dek kerana bengkak akibat ditumbuk masih belum surut.
“Bon, dia ejek kau Bon.”, si Jamil menebar fitnah.
“Aah Bon, dia buat muka kat kau.”, Azad menambah perisa fitnah yang ditabur Jamil.
            Aku merentap kasar tangan Abon lepas dari bahu aku. Aku dapat rasa mata aku panas. Rasa sakit makin menyucuk dan berdenyut-denyut.

“Korang buat apa tu?”, seorang pengawas senior datang menghampiri.

Tiga lagi pengawas bertugas pada pagi itu, tanpa menunggu lama mengheret kami berempat ke muka pengadilan. Aku dapat rasakan lengan aku turut merasa sakit dan kebas. Tapi biarlah, aku lebih rela menghadap guru besar daripada terus bergaduh dengan Abon. Api sengketa antara Abon dan aku menyala kira-kira setahun yang lalu di rumah Ustaz. Abon membuli Azad pada petang itu, dan aku melaporkan hal itu kepada Ustaz. Sebagai hukuman, Abon dirotan Ustaz. Aku tahu Abon malu apatah lagi seluruh anak-anak mengaji di situ melihat dengan benci. Sejak hari itu, Abon mula mengarahkan perhatian dan tenaganya untuk mencari pasal dengan aku. Kedegilan aku tambah menyakitkan hatinya. Azad selepas kejadian itu menjadi kroni Abon gara-gara takut dikecam Abon, si budak jahat.

Berita aku, Abon, Jamil, dan Azad dihukum berjemur bawah terik mentari cepat sahaja tersebar seluruh kampung. Sudah tiga jam kami berjemur. Malu yang aku tanggung tidak sehebat rasa sakit pada bahu kanan. Tapi aku keraskan hati dan tangan semakin kebas dan kebas. Jamil dan Azad sudah mengeluh dan menangis teresak-esak. Yang masih tegak berdiri ialah Abon. Hatinya sangat keras dan ego. Ekor mata aku memerhati budak lelaki tinggi dan besar itu di hujung barisan melewati tubuh Azad dan Jamil.

“Bon, jom minta maaf dengan cikgu jom...hgh....aku dah nak mati ni Bon...”, Jamil teresak-esak memujuk.

Wajahnya kelat dan gelap dibakar mentari. Aku sendiri terasa panasnya membakar atas kepala. Aku raba rambut, panas. Tiba-tiba Azad jatuh rebah ke bumi. Dan hukuman berakhir apabila Azad diusung ke bilik rawatan. Aku pula berjalan lambat-lambat ke kelas. Nur Aminah menanti di sebelah tempat duduk aku. Hanya Nur Aminah kawan perempuan yang aku ada. Cikgu Rafa sedang menulis nombor 4 pada papan hitam sebelum dia menghampiri aku dengan perlahan.

“Nur Azima tak apa-apa?”, hanya Cikgu Rafa yang memanggil aku dengan nama penuh.
Aku sengih tawar. “Maaf cikgu, saya lambat masuk kelas.”
“Ok, salin soalan kat papan hitam ni. Awak hantar besok jelah. Pinjam buku Nur Aminah.”

            Jari aku terketar-ketar untuk memegang pensel. Nur Aminah yang perasan menarik pensel daripada tangan aku. Buku Matematiknya diselitkan dalam buku latihan aku.
“Tangan kau sejuk Ji.”, aku pun dapat merasakan bibir aku sejuk.

            Ada lebih kurang setengah jam lagi sebelum loceng tamat sesi persekolahan berbunyi. Aku tahankan diri. Sebelum keluar dari kelas, Nur Aminah bertanya lagi, “Kau tak apa-apa ke Ji? Aku cakap dengan ayah aku tolong hantar kau sekali eh?”

            Aku menolak dengan baik. Tidak mahu aku menyusahkan orang tua itu. Sudahnya Nur Aminah pulang sendiri, dan aku mendapatkan basikal. Sewaktu menggenggam, tangan aku terasa sakit sekali. Sudah hendak dekat jarak aku sedang mengayuh dengan simpang jalan yang Usu akan lalui untuk pulang ke rumah. Langit sedikit berawan menahan sinar terik matahari. Aku mula terlihat tompok-tompok hitam pada penglihatan, tangan terasa lemah dan badan longlai, sebelum aku terjelepuk jatuh di tepi jalan. Dalam separa sedar, aku terdengar orang memanggil-manggil aku.
“Hoi...hoi!...bangun hoi...mati ke?”, badan aku bergoncang-goncang.
“Jangan buat aku takut...”, mata aku makin berat.
“Hoi bangun...tolong!...hoi maafkan aku hoi.. tolong!”, aku terus tidak sedar.

            Dua hari di rumah serasakan setahun. Cuti sakit yang diberi doktor tidak diisi dengan menunggang basikal sekeliling kampung sewaktu musim cuti persekolahan bersama Nur Aminah dan Usu. Bengkak pada bahu kanan semakin surut dan rasa berdenyut sudah hilang. Mungkin esok aku sudah boleh kembali ke sekolah. Duduk di beranda rumah menantikan Usu pulang dari sekolah begitu menyeksakan kalau tidak ada jalan kampung ini. Basikal buruk yang tersadai di tiang rumah aku perhatikan. Sayu.
           
            Selepas pengsan di tepi jalan, Abon sempat menahan basikal aku daripada menindih badan. Dia mengekori aku. Sebelum pulang hari itu, Nur Aminah memarahinya dan membuka rahsia bahawa bahu aku bengkak. Sebelum ini, dagu aku koyak sedikit terkena kukunya sewaktu menumbuk aku. Nur Aminah pantas mengagak angkara siapa bahu aku jadi begitu.
           
Abon juga yang menahan kereta Abang Salleh untuk ke hospital. Tiba di hospital, emak mendapat berita aku ditahan di wad. Badan aku diserang demam panas, dan aku pengsan kerana menahan sakit. Usulah yang menahan emak daripada menampar aku sebaik terjaga.
“Kan Jiji masih hidup kak.”, kedua-dua kelopak mata aku pejamkan, menanti tangan emak hinggap pada pipi.
“Akak...”, suara Usu perlahan dan sayu.

            Kelopak mata aku buka sebelah dan aku dapat lihat wajah emak tidak beriak, matanya tidak berkata-kata, tangan kanannya jatuh perlahan ke sisi, sebelum aku tersentak sekejap apabila emak memeluk aku. Kuat dan erat. Aku dapat dengar esakan halus emak dan nafasnya terputus-putus. Malam itu, Usu menemani aku kerana emak bekerja pada bahagian malam. Sebelum memejam mata, aku bertanya Usu.
“Abah tak nak tengok Jiji ke Su?”, Usu berhenti menulis dalam bukunya.
“Abah kerja luar Ji. Takkan abah nak berkejar ke sini. Tidurlah.”, peha kanan aku Usu tepuk sekali.
“Abon?”, mata usu dikerling sekilas ke arah aku dan Usu tersenyum.
“Berani ke dia? Ada dia datang ikut sekali masa hantar Jiji ke sini. Lepastu dia baliklah.”, mata aku terkebil-kebil merenung siling, sementara penghuni lain dalam wad ini semuanya sudah dibuai mimpi.
“Besok Usu bawak Abon datang sini boleh?”, suara aku semakin perlahan, dan kelopak semakin memberat.
“Tak takut?”, aku menguap lebar, mata terasa berair.
“Tak....”, dan aku terus terlelap meninggalkan Usu yang perlahan-lahan menyandar pada kerusi, matanya turut dipejamkan.
Mangkuk tingkat yang sudah berdiri atas meja di hujung kaki bergerak ke kiri ke kanan. Tangan yang memegangnya pula seakan-akan tidak mahu dilepaskan. Abon hari ini datang juga dengan memakai seluar kodroi berwarna hijau lumut berpadanan dengan baju kemeja kotak-kotak. Hari ini, Abon kemas dan tidak selekeh.
“Hoi sinilah...”, Abon menurut meninggalkan mangkuk tingkat bersendirian atas meja.

            Jarak yang lebih dekat menampakkan lagi penampilannya yang rapi. Aku dapat lihat rambut yang selalunya kering dan kusam dipanggang cahaya matahari kini hitam gelap. Mungkin Abon menyapu minyak rambut. Abon tersipu-sipu apabila aku tidak mempelawanya duduk. Lantas, dia terus berdiri dengan kedua-dua tangan diselimpang kebelakang. Kepalanya tunduk menekur lantai. Apabila tangan kirinya menggosok-gosok hidung, aku lihat kukunya bersih rapi sudah dikerat. Berniat mengurangkan rasa canggungnya, aku bangkit dari baring dan duduk. Kedua-dua kaki aku lipat.
“Duduk.”, mata Abon menoleh aku sekilas sebelum dia menurut.
           
            Kedua-dua tangan aku panjangkan mencapai mangkuk tingkat. Mangkuk tingkat aku buka dan mangkuk yang paling atas aku lihat berisi kuih donat bergula. Aku sengih lebar. Tanpa mempelawa, aku kunyah donat yang dibawa Abon.
“Sedap. Siapa buat?”, aku bercakap sambil mengunyah.
Abon teragak-agak menjawab.
“Mak aku.”, aku unjukkan mangkuk kepadanya.
“Nak?1,2,3,4,5 campur aku punya ada 6.”, Abon gelisah dan mengeluarkan sesuatu dari poket baju.
“Minta maaf!”, tanpa pamit Abon bangkit dan menuju ke pintu wad.

            Tubuhnya berlanggar dengan Usu yang datang dari arah bertentangan. Mereka berbual sekejap, dan Usu membiarkan Abon berlalu. Aku terus mengunyah walaupun terkejut. Aku lihat kertas yang Abon tinggalkan disebelah aku dengan penuh tanda tanya. Surat berwarna merah jambu. Itulah surat yang kemudian Usu bacakan kepada aku. Tiada apa sangat yang Abon tuliskan dengan tulisan cakar ayamnya. Dia meminta maaf, dan berjanji tidak akan mengganggu aku lagi. Kata Usu, emak Abon juga turut meminta maaf dan menitipkan mangkuk tingkat supaya aku lekas sembuh. Emak Abon baik, tapi anaknya.
“Maafkanlah dia.”, Usu bercakap dengan serius.
           
Aku angguk dan tersenyum. Namun, aku punya syarat aku sendiri. Pada mulanya Abon nampak ragu-ragu apabila aku nyatakan syarat aku. Dia menoleh Azad dan Jamil. Kemudian berkata, “Yelah...”. aku tersengih lebar. Selepas itu, kawan aku semakin bertambah, bukan hanya ada Nur Aminah dan Usu. Malah, dunia aku lebih luas dengan adanya Abon, Jamil, dan Azad. Kadang-kadang aku membonceng basikal Abon ataupun Azad sewaktu hujan. Mereka akan mengayuh manakala aku akan memegang payung di belakang. Jamil anak orang berada, basikalnya mahal. BMX. Tetapi, kami tetap berpeluang merasa pengalaman sekejap menunggang basikalnya. Dia hanya tersenyum bangga apabila kami nyatakan betapa seronok perasaan kami.
           
Dengan menjadi ahli kumpulan Abon, Azad, dan Jamil, aku mula pandai memanjat pokok. Antara mereka bertiga, Abon yang paling mahir. Kami agak mungkin kerana tubuhnya yang tinggi dan besar, tenaganya lebih banyak berbanding kami. Azad selalu mencadangkan Abon berguru dengan si Sazali. Sazali, pembina badan negara. Namun, biasanya Abon akan buat tidak endah.  

            Setahun selepas itu, mereka bertiga mula sibuk dengan kelas tambahan. Persediaan menghadapi peperiksaan UPSR sedang giat dilaksanakan pihak sekolah. Pada ketika ini, aku selalu pulang sendiri. Hanya pada hari minggu kami berpeluang bermain dan menunggang basikal. Aku masih ingat hari itu hari Sabtu. Azad datang ke rumah aku.
“Jomlah. Bon ajak mandi sungai.”, aku mengerut dahi dan Azad sengih.
“Alah....jomlah...nanti aku tak ajak kau marah.”, aku terus mencapai basikal.

            Sesampai di sana, Jamil dan Abon sudah berendam. T-shirt masing-masing ada terhumban dalam bakul basikal. Aku rasakan tiba-tiba pinggang aku meregang. Perut pula rasa sebu dan kembung.
 “Hoi !”, aku menoleh apabila Abon memanggil.
“Jap...jap...aku sakit perutlah.”, hujung jari mula sejuk.

            Mereka bertiga terus leka berendam dalam kesejukan air sungai. Tiba-tiba aku lihat Nur Aminah makin mendekat dengan basikalnya. Dia tersenyum dan melambai. Aku sengih semula dan turun dari basikal. Rasa sakit aku buat tidak peduli.
“Minah....nak mandi tak? Jomlah...!”, Jamil menjerit dari sungai.
“Taknaklah. Kita tak nak mandi dengan budak lelaki.”, Azad menepuk-nepuk permukaan air sambil menjerit-jerit.
“Mak kau tau tak kau datang sini Minah?”, tangan kanan aku menekan-nekan perut.
“Tau. Mak aku kata kena balik sebelum maghrib.”, aku pandang awan berarak pada langit cerah.
           
            Matahari sedang terpacak atas kepala ketika itu. Aku tidak dapat menahan kerutan pada wajah dilihat jelas oleh Nur Aminah. Dia meraba bahagian bawah perut aku.
“Kat perut ke kat sini yang sakit?”, aku lihat Nur Aminah sudah mengalahkan doktor lagaknya.
            Abon aku lihat sudah naik ke tebing. Kakinya digoyang-goyang menjatuhkan air dari seluar pendek. Jamil dan Azad masih terjerit-jerit, menyelam dan berlumba berenang dalam sungai. Abon menuju basikalnya di belakang aku. Soalan Nur Aminah tergantung sepi.
“Ah?...kenapa sakit ek?”, aku bertanya kembali.
“Engkau makan apa tadi? Kau nak berak ke?”, Abon ketawa terbahak-bahak.

            Sebelum sempat aku menjawab, aku tersentak apabila Abon memegang bahu aku dan menjerit pendek.
“Eh! Darahlah......”, Abon dibelakang aku berkata kuat apabila terpandang kesan cecair merah pada bahagian bawah T-shirt labuh yang aku pakai.

            Nur Aminah ternyata lebih mengerti situasi aku. Dia menutup mata Abon dengan baju Jamil.
“Jangan tengoklah. Malulah dia.”, aku sebenarnya tidak mengerti.
“Minah, aku sakit apa? Aku nak mati ke?”, aku mula rasa cemas bila aku melihat darah pada tangan aku.

            Jamil dan Azad yang terdengar jeritan Abon meluru mendapatkan kami bertiga. Jamil pantas menjerit.
“Eh kau datang bulan!....Hahah.”, Nur Aminah menepuk mulut Jamil.

            Azad dan Abon kini sudah mengerti. Aku juga. Kata-kata Ustazah Zanariah dalam kelas hadas besar dan kecil terimbau. Ustazah pernah mengatakan orang perempuan boleh tidak solat. Kami semua tersentak. Selama ini, kami tahu neraka akan menanti andai tidak solat. Namun Ustazah Zanariah ketawa kecil sebelum berkata, “Hanya apabila orang perempuan itu haid. Datang bulan, nifas, wiladah.”. Perlahan-lahan wajah aku terasa panas.

            Entah kenapa irama L’Inverno pada bahagian Allegro Non Molto yang aku sering dengar berkumandang dari dalam bilik Usu bergema-gema dalam kepala. Aku rasa malu dan sedikit-sedikit perasaan seperti pemisah antara aku dan geng Abon terbina. Bermula hari itu, aku seperti sedikit berubah. Mengelak daripada Abon, Jamil dan Azad sudah saban hari aku lakukan sehingga UPSR berakhir dan mereka bertiga ke sekolah menengah.  Aku kembali bersendirian bersama Nur Aminah. Usu akan ke universiti dalam sebulan lagi.

“Jangan tak sembahyang. Jiji sendiri yang tanggung dosa. Jangan main sembarangan lagi dengan budak lelaki. Cuba cari kawan perempuan. Usu nak tengok Jiji pakai tudung bila Usu balik cuti semester.”, petang itu Usu sedang menyusun pakaian.

            Aku berdiri bersandar pada daun pintu. Berat rasa hati melepaskan Usu pergi. Aku tahu maksud kata-kata Usu. Usu jugalah yang membelikan tuala wanita untuk aku pada ketika haid dahulu. Usu mahu aku menjaga diri sebagai gadis yang baik-baik.

“Tau...”, Usu berhenti mengemas dan menoleh aku.
“Jiji gaduh dengan diorang ke?”, aku angkat kepala.
“Tak....”, Usu sengih.
“Boleh kawan dengan diorang.”, ayam di luar rumah berkokok.
“Usu kata jangan main dengan budak lelaki.”
“Mana ada Usu cakap macam tu.”, aku alihkan mata.
“Maksud Usu, lebih daripada ka-wan. Jiji sekarang bukan macam dulu lagi. Takkan Usu nak kena bagitau semua ni pada Jiji. Dah darjah enam pun.”, aku angguk.
“Abon, Jamil, Azad. Diorang dah besar. Walaupun macam tu, diorang dah besar. Dan diorang tetap lelaki. Tetap le-la-ki.”, wajah Usu serius.

            Aku angguk. Angguk lagi. Wajah Usu hari itu redup. Kata-kata Usu masuk ke dalam kepala dan jatuh ke hati. Memang selama ini aku membesar bersama Usu. Sampai sudah Usu tetap menjaga aku. Namun, selepas itu aku harus dapat hidup sendiri. Tanpa Usu. Tanpa kata-kata Usu. Kerana Usu akan pergi. Pergi meninggalkan aku. Pergi yang tidak akan kembali. Selama-lamanya bersama L’Inverno...



Aku terjaga apabila jam loceng di atas meja belajar berbunyi nyaring. 5.58 pagi. Aku merenung siling. Siling yang berbeza daripada yang pernah aku lihat bertahun-tahun dahulu. Ayam kokok tidak akan berbunyi berganti dengan jam loceng. Jalan berturap lengang telah berganti dengan jalan raya dengan kenderaan bertali arus. Aku kini di Johor Bahru. Bandar besar, dan gayanya metropolitan. Liur aku telan.

            Air wuduk terasa basah pada hujung rambut dan wajah pada pagi ini. Aku pandang cermin di hadapan. Ada jerawat baru tumbuh di bawah dagu sebelah kiri. Rambut aku kini separas bahu dan bercekak. Wajah kanak-kanak itu telah lama hilang dan luput berganti dengan wajah yang memanjang. Untuk melihat cermin kini aku tidak perlu lagi menggunakan kerusi kecil kerana aku sudah cukup tinggi. Kini semuanya turut berubah. Usu, inilah Jiji yang Usu mahukan.

            Selepas solat, set stereo di tepi katil akan berfungsi. Irama L’Inverno mengisi seluruh ruang bilik. Bilik yang berwarna Hijau lumpur. Tingkap yang bertabir kain langsir krim. Baju sekolah tergantung aku capai dan sarungkan pada tubuh. Kemudian berdiri di hadapan cermin panjang setinggi aku. Kini, semuanya memang telah berubah. Pinggang ini sudah ada bentuknya. Dada ini telah menonjol. Kulit ini menghalus dan berbulu. Pinggul membentuk mengundang rasa malu apabila berjalan dibontoti lelaki. Benarlah kata Usu. Aku bukan lagi aku yang dahulu. Ini Nur Azima, bukannya Jiji yang menunggang basikal ke sekolah itu dahulu.

            Surat berwarna merah jambu itu masih ada. Masih tersimpan. Tempatnya di dalam laci meja belajar. Aku lipat kemas dan letakkan dalam kotak bersama-sama pelekat magnet yang aku ambil dari peti sejuk. Bibir tersenyum sedikit. Abon. Hanya inilah barang yang pernah Abon beri kepada aku. Surat ketika di hospital dan pelekat magnet ketika.....
~Imbas kembali~

Pengebumian telah sempurna. Usu. Usu telah pergi. Emak di sebelah aku matanya masih merah, tapi tidak semerah pagi tadi. Usu pergi setelah beberapa jam terlantar koma dihospital. Kak Huda cedera parah begitu juga dengan ramai lagi anak muda yang akan ke universiti dalam bas itu.
           
            Keempat-empat sahabat aku ada turut sama hadir. Nur Aminah masih menangis dan mengongoi pada bahu ibunya. Abah berdiri di hujung kubur Usu. Wajahnya sayu. Abon, Azad, dan Jamil bertiga berada beberapa tapak daripada aku. Abon memandang aku.

            Mereka bertiga masing-masing meminta kebenaran keluar dengan alasan kecemasan keluarga dari warden asrama. Azad dan Jamil diterima masuk ke MRSM Muar. Abon tercampak jauh ke Ipoh, Sekolah Tuanku Abdul Rahman. Enam bulan sudah masing-masing bergelar murid sekolah menengah dan belajar di tingkatan satu.

            Di rumah, aku duduk di bilik Usu. Gambar Ferdinand Marcos di depan meja belajar Usu aku pandang. Cita-cita Usu berkubur.
“Siapa ni Su?”, aku menunjuk gambar pada dinding.
“Marcos.”, Usu sedang memutar screwdriver membetulkan walkman.
“Macam bagus je...”, aku menjawab malas.
“Dia pelajar hebat, banduan, peguam, dan pencetus revolusi.”, Usu bercakap sambil mengangkat kepala mendongak siling.
“Banduan?”, aku terkejut.
“Bela diri sendiri dalam mahkamah. Dia dan hanya dia dalam sejarah ni.”
“Nak jadi macam dia?”, gambar bersaiz poster itu aku sentuh.
“Yelah. Usu nak jadi lawyer. Macam dia...hebat kan...”, dan Usu gelak.

            Itu dahulu. Kini bilik ini sunyi. Penghuninya telah hilang. Namun hilangnya Usu dengan membawa seorang pengganti. Abon. Dia datang petang itu dengan basikal. Hanya dia seorang dengan pakaian sekolah. Dia duduk di pintu masuk beranda. Rambutnya hitam dan kemas. Kemejanya bersih bergosok. Abon sudah membesar. Membesar menjadi seorang lelaki di asrama.
“Hai.”, aku pandang wajahnya dengan perasaan kosong.
“Nak balik asrama?”, dia angguk.
“Aku tak boleh keluar lama.”, ada sebuah kereta melintas jalan berturap hadapan rumah.
“Siapa hantar kau?”
“Bapak aku.”, wajahnya sedikit suram.
“Seronok kat sana?”, semut yang hinggap pada kaki aku buang.
“Emm..”, dia angguk lagi.
“Bon...”, kepalanya dipanggung.
“Kau sayang Usu tak?”, dia kelu.
“Sayang.”, perlahan sahaja jawapannya.
“Kalau kau sayang Usu...”, aku tenung wajahnya dalam-dalam.
“Apa?”
“Kau jangan cakap dengan aku lagi.”, Abon terkedu.

            Aku menunggu beberapa saat lagi kalau-kalau  Abon mahu membalas. Dia tetap senyap dan wajahnya ditekur menghadap lantai. Aku bangun perlahan dari kerusi. Kaki hampir memijak tangga pertama rumah.
“Aku...”, aku terdiam.
“Baru balik dari Cameron Highland. Rombongan sekolah.”, aku pusing badan menghadapnya.
“Nah.”, sesuatu dikeluarkan dari poket seluar dan diletakkan dilantai.
“Aku balik dulu.”, dan Abon betul-betul pergi.

            Aku pandang  pelekat magnet yang berbalut plastik dan tubuh pemberinya yang semakin mengecil dan hilang di persimpangan jalan. Hati aku rasa sakit. Aneh dan pedih. Itulah kali terakhir aku bertemu Abon. Satu-satunya kenangan secara visual yang aku masih ingat padanya ialah bentuk belakang tubuh badannya yang berjalan pergi. Aku tidak pernah lupa....


SPM berakhir. Keputusan sudah ditangan. Surat tawaran universiti juga sudah ditangan. Baru sekejap tadi Nur Aminah, teman sepermainan sewaktu kecil menelefon dari kampung. Dia akan ke matrikulasi. Aku pula ditawarkan untuk PASUM( Program Asasi Sains Universiti Malaya). Jalan untuk sampai ke tahap ini bukanlah mudah. Seperti yang aku selalu dengar senior-senior terdahulu berkata : apa yang kau buat itulah apa yang kau dapat.

            Suatu pagi di rumah nenek, aku ke pejabat pos. Setelah itu, singgah sebentar di 7 Eleven. Tekak ini tiba-tiba mengidamkan Slurpee. Sewaktu mencari-cari coklat Vochelle sambil membongkok, aku terlanggar seseorang. Secepat kilat aku tegak berdiri. Niat di hati ingin meminta maaf, tetapi tiba-tiba badan aku kaku. Spontan, ayat yang ingin terkeluar tidak terluah. Hanya bunyi liur ditelan menyapa telinga.

            Dia pun kaku. Botol 100 Plus di tangan kiri hampir jatuh melorot namun cepat dia menyambutnya. Kesibukan dan bunyi lagu dari stereo premis tidak masuk ke pendengaran. Ruang antara kami bungkam dan sunyi. Bunyi syiling jatuh, mesin daftar tunai keluar masuk, dan mesin pengisar Slurpee di keliling aku terasa tidak wujud. Semuanya terasa lain dan asing. Sebelum orang itu membuka mulutnya.
“Hai.”, itulah nada yang aku pernah dengar hampir  enam tahun dulu.
“Hai.”, suasana mula kembali ke alam nyata.
“Jiji?”, nama itu seakan klasik. Aku angguk.
“Akulah...err...Badiuzzaman.”, aku kelipkan mata sekali, cuba mengingat nama itu.
“Abon..Abon.”, dia menegaskan semula.

            Lagu Sheila On 7, Berhenti Berharap berkumandang pada corong stereo. Menambah sedikit unsur kekeliruan dalam situasi ini. Coklat Vochelle aku capai sekali gerakan dan kembali mematung di hadapan Badiuzzaman, atau Abon. Aku hampir tidak mengecamnya. Apa yang aku ingat ialah bentuk badan belakangnya yang berlanggar dengan aku tadi. Aku senyum sekali.
“Oh...lama tak dengar cerita.”, Abon sengih.
“Aku balik cuti.”, suaranya semakin besar dan berubah daripada yang aku selalu dengar dahulu.
“Kau cuti sem. Kat mana?”, kaki aku menghentak lantai mengikut irama lagu.
“USM. HBP.”, aku meledak tawa.
“Kenapa kau tak jadi vet ke, penternak ikan ke? Baru kena dengan jiwa kau.”
“Entahlah...”

            Dalam perjalanan pulang, aku duduk di tepi tingkap. Bas berjalan dengan lambat kerana kesesakan. Pekan Parit Raja ini kadangkala sama sibuknya dengan di Johor Bahru. Cuma di pekan ini ada sesuatu yang cantik. Ketika melalui jalan sekitar Parit Daun, dan balai polis, pokok-pokok besar di tepi jalan akan menggugurkan bunga. Penduduk di sini tidak perlu terbang jauh ke Jepun melihat bunga sakura. Di sini pun panoramanya sudah seperti itu. Lorong untuk pejalan kaki di tepi jalan bertaburan dengan bunga berwarna Putih dan Merah Jambu. Di sesetengah kawasan pula bunga-bunga itu bertaburan sampai ke atas jalan besar. Cantik, memang cantik.

            Baru hari ini aku tahu, nama sebenar Abon ialah Badiuzzaman. Slurpee yang tinggal separuh aku kacau perlahan. Terasa dunia ini kecil. Masa pula berlalu begitu pantas. Macam baru semalam aku berjumpa Abon. Macam baru semalam bermain dengan Abon, Azad dan Jamil. Macam baru semalam Usu meninggal dunia. Macam baru semalam menerima keputusan SPM. Abon pun semakin berubah. Dia nampak lebih matang. Abon yang dahulu seakan sudah hilang ke mana. Cuma perangai malu-malunya yang masih belum hilang. Tiba-tiba aku menjadi begitu tertarik dengan bunga berguguran yang selalu aku lihat ini.

            Malam itu, emak menelefon dari Johor Bahru. Katanya akan berangkat ke Pulau Pinang menghadiri seminar. Biarlah. Bagi aku, dunia aku, hidup aku, kini aku yang akan menentukannya. Sakit hati, tidak puas hati sudah lama aku lupakan. Biarlah mereka. Nenek pula aku perhatikan khusyuk betul dengan Buletin Utama. Hanya apabila ada suara orang memberi salam, barulah nenek terkejut dan pantas berdiri. Pintu dibuka dan seseorang menapak masuk setelah dipelawa.
“Ada kat dalam tu ha. Masuklah. Baru habis lipat kain.”, aku pelik, mencuri dengar.
“Siapa?”, perlahan persoalan itu bermain di bibir.
            Apabila orang itu sudah di hadapan mata, aku rasa tidak keruan.
“Eh..lupa nak bagitau Ji. Tudung...”, belum sempat ayat nenek habis, aku sudah memecut ke dalam bilik mencari tudung.

            Orang itu tersentak sedikit tetapi selepas itu dihela dengan kekehan halus. Sewaktu merapikan tudung, aku teringat kata-kata Usu lagi. Usu nak tengok Jiji pakai tudung. Memang selepas kejadian itu, aku mula menutup kepala. Ketika itu, aku tidak terlalu faham akan batas aurat antara aku dan Abon. Tetapi kini, perasaan malu, maruah dan perbezaan jantina antara kami membuat aku lebih menjaga aurat dengan hati yang ikhlas. Dahulu Abon hanya budak lelaki, kini dia memang seorang lelaki. Kata-kata Usu terimbau lagi. Aku faham kini maksud kata-kata Usu. Dan diorang tetap lelaki. Tetap le-la-ki.

            Tempat duduk di hadapan televisyen sudah berisi dengan tetamu yang seorang itu. Nenek pula duduk di hadapannya. Sebaik melangkah keluar dari bilik, nenek mengarah.
“Ji jerang air panas.”, aku turutkan sahaja.

            Menjerang air sebenarnya tidak memakan masa yang lama, tapi aku sengaja melambat-lambat. Apabila tiba di hadapan mereka, nenek sekali lagi meningkah lembut.
“Lamanya anak dara ni buat air.”, aku sengih tidak ikhlas.

            Orang itu masih mematung, cuma duduknya sekejap-sekejap berubah. Selepas itu aku duduk di sebelah nenek. Buletin Utama sudah tamat. Nenek bersuara.
“Bon, habis belajarnya bila?”, nenek menyisip teh.
“Lagi empat lima tahun nek. Kenapa?”, mata aku sekejap kearah Abon, sekejap menoleh nenek.
“Tak ada apa, dah besar dah korang semua ni. Tu budak bertuah lagi dua tu belajar apa pula?”, Abon menyisip teh tanpa dipelawa.
“Jamil jadi cikgu. Azad belajar undang-undang. Nak jadi loyar nek.”, ramah Abon melayan nenek bercakap.
“Loyar tu apekebendenya?”, nenek berkerut dahi, aku tergelak kecil.
“Peguam. Alah yang kerja dekat mahkamah tu ha...”, nenek angguk-angguk.

            Mata Abon tiba-tiba mengena tepat pada pandangan aku. Aku jadi malu. Abon kini bukan Abon yang dahulu. Aku lebih rasakan di hadapan aku itu ialah Badiuzzaman, bukanlah Abon. Nenek terbatuk-batuk. Rancangan televisyen telah bertukar kepada drama Lestary. Aku bukannya penonton televisyen tegar. Batuk nenek kedengaran lagi. Abon menuang lagi teh dalam cawan kosong nenek. Cawan dihulur kepada nenek. Nenek menurut dan meneguk beberapa kali. Tetap, batuknya makin teruk. Aku kerut dahi. Abon bingkas berdiri.
“Ambik tudung nenek, kita pergi klinik.”, makin bertambah berkedut dahi aku.
“Nenek memang macam nilah. Tak apa kau baliklah. Aku boleh jaga nenek.”, belakang badan nenek aku tepuk-tepuk.
“Aku tunggu kat dalam kereta.”, nenek sudah Abon papah keluar rumah.

            Aku tidak punya pilihan.

Nenek sudah tertidur di tempat duduk belakang. Bunyi dengkur halus-halus mengisi ruang sunyi kereta. Aku tertanya kereta siapakah yang Abon sedang pandu ini. Radio yang terpasang pun hanya sayup-sayup kedengaran. Sebaik nenek tertidur lebih kurang 10 minit lepas, Abon memperlahankan radio.
“Bila kau beli kereta?”, aku takut-takut berani mengeluarkan soalan maut.
“Baru je.”, dia jawab mendatar.
“Banyak duit kau.”, mata aku memandang jalan raya yang semakin lengang.

            Jam pada dashboard menunjuk angka 10.46 malam. Selepas ke klinik, Abon singgah di warung berdekatan jambatan Batu Pahat. Suasana malam berdekatan dengan Putra Specialist Hospital ini agak mendamaikan. Selama ini tidak pula aku perasan.
“Nama ayah aku. Aku tinggal pakai je. Bukan kereta mahal pun.”, dia gelak kecil.
“Kau banyak berubah. Ada apa-apa yang aku tak tau ke?”
“Kenapa? Bukannya kau dah tau.”, aku toleh Abon di sebelah kanan sekilas.
“Tak faham.”, aku kerut dahi, kaki kanan aku luruskan.
“Usu.”, mata aku berkedip sekali.
“Tak ingat? Aku, kau, Usu. Petang tu.”, aku mula faham.
“Kenapa? Aku dah buat salah ke?”, aku tunduk, bila Abon bertanya.
“Tak...”, suara aku hampir tidak terkeluar, Abon sabar menunggu.
“Kau...aku...kita lain. Semua ni perkara biasa. Takkan kau nak tanya lagi?”, aku tidak pandang wajahnya.
“Kau...”, Abon bersuara dan aku memintas.
“Hantar aku balik.”, jalan sudah menerus ke arah Parit Raja, jam menginjak angka 11 malam. Nenek masih lena tidur.
“Suka aku?”, aku diam, kaku, kemudian berpura-pura ketawa perlahan.
“Tak lawaklah.”, dia serius.
“Ok.”, dan selepas itu suasana terus sunyi dan bungkam.

            Kereta bergerak perlahan pulang ke arah Sri Gading. Apabila melalui kawasan ‘bunga sakura’, aku teringat Usu. Aku pandang ke kiri dan tidak menoleh hadapan lagi. Aku perasan kelajuan kereta menurun, dan Abon memilih lorong kiri. Waktu itu, lebih banyak bunga yang jatuh dan berterbangan apabila disambar tujahan angin kenderaan. Aku tidak tahu mengatasi masalah ini. Aku dan Abon. Kami sama-sama tidak tahu. Usu tidak pernah mengajar aku dahulu tentang perasaan antara lelaki dan perempuan. Aku kenal perasaan ini. Tetapi, aku dapat rasakan perasaan ini salah dizahirkan dengan sewenang-wenangnya. Abon dan aku masing-masing punya maruah. Dan kereta terus meluncur tenang.

Hari ini, Abon akan pulang ke USM. Pagi-pagi lagi dia sudah terpacak di hadapan rumah nenek.  Aku mengintai dari cermin. Nenek sedang bercakap di halaman rumah dengannya. Kata-kata mereka tidak pula aku dengar dengan jelas. Bunyi rancangan televisyen mengganggu. Handak diperlahankan, aku takut Abon perasan kehadiran aku di dalam rumah itu.
“Yelah. Nanti nenek cakap.”, aku cuba picing telinga lagi.
“Saya...maaf susahkan nenek.”, suara lelaki.
“Alah orang muda punya hal. Taulah nenek...”, kemudian Abon memberi salam.

            Aku terduduk di sofa. Suara nenek mengejutkan aku.
“Kalau kau keluar tadi kan senang. Terhendap-hendap macam pencuri.”, pedas ayatnya.
“Jiji belum mandi.”, aku sengih.
“Ai dulu masa kecil tak pula kau segan kentut depan dia. Datang bulan pun dia yang menegur.”, muka aku panas.
“Jiji nak mandi.”, aku bangun berdiri.
“Dia pesan datang bus stand pukul 2.30 nanti.”, aku terbantut melangkah.
           
            Kata-kata nenek aku hempas pulas cuba cernakan. Aku-pergi-bus-stand. Spontan badan berpusing 90 darjah. Aku tarik nafas.
“Sebab?”, nenek membetulkan simpulan kain batik pada pinggang.
“Ajak si Aminah. Jangan pergi sendiri. Hilang entah ke mana kan.”, aku telan liur dan dalam kepala aku bermain ayat: tiada kompromi.

            Lalu kini dan di saat inilah aku sedang duduk-duduk seperti si dungu di kawasan terminal bas Batu Pahat bagai menanti buah yang tidak gugur. Aminah sibuk membaca komik. Jam aku lirik. 2.42 petang. Ini sudah lebih. Aku sampai pun awal 10 minit. Hari Ahad beginilah sibuknya di sini. Mata aku mencari kelibat Abon dalam keramaian orang. Satu-satu muka aku pandang. Akhirnya, jumpa.
“Maaf lambat.”, dia sudah berdiri terpacak di hadapan aku dan Aminah.
“Em. Ada apa?”, mata aku sengaja aku pandang ke arah lain.
“Ingat kau tak datang.”, Aminah duduk semula menyambung bacaan.
“Mandat nenek. Sorang?”, dia angguk.
“Budak lelaki mana ada keluarga nak teman. Sendirian berhad je semua.”, beg galasnya ditarik-tarik talinya.
“Bas kau pukul berapa?”, aku begitu mengharapkan kecanggungan ini beraknir.
“3.00 macam tulah. Maaf aku lambat, kalau tak boleh cerita banyak.”, aku senyum tidak ikhlas.
“Err...Ji.”, aku tundukkan kepala.
“Dulu kau kata aku tak boleh jumpa kau lagi. Lepas Usu meninggal. Apa maksud kau?”, kaki aku kuis-kuis, tarik nafas.
“Itu ....itu eh...em...kau kan sekolah asrama. Macam mana nak jumpa aku. Ha tulah...tu...maksud aku.”, Abon ketawa perlahan.

            Kawasan yang kami sedang berdiri ini berdekatan dengan premis perniagaan. Lantas, sinaran mentari tidak akan diteduhkan oleh bumbung yang gelap di dalam terminal. Memang sengaja, kami(aku dan Aminah) memilih kawasan ini. Seram di kawasan yang agak gelap dan kotor itu. Peluh akibat panas dan penuh yang bernama peluh dingin mula menompok pada muka. Aku biarkan. Aku lihat Abon tidak kurang berpeluh. Lehernya sahaja sudah basah lembap sampai ke kolar. Tidak semena-mena, beg plastik pada tangan kanan yang disorokkan di belakang badan diunjuk kepada aku. Aku kerut dahi. Bungkusan plastik aku pandang tidak berkelip. Sambil memandang wajahnya, aku angkat kening beberapa kali.
“Hadiah.”, itu sahaja ayat yang keluar dari mulutnya.
“Sebab?”, peluh semakin banyak menompok.

            Kedengaran suara konduktor bas memanggil penumpang bas naik ketika itu. Abon menoleh dan aku tahu panggilan itu turut ditujukan kepadanya. Itulah bas yang dia naiki.
“Sebab....”, beberapa orang berdekatan tempat aku berdiri ini mula menuju ke arah bas.
“Sampai aku jadi lelaki yang layak. Sampai hari tu, kau kena tunggu aku.”, bungkusan itu ditolak mengena rapat ke tubuh aku.

            Itulah sahaja ayatnya. Ayat yang dia ingin ucapkan sebelum dia sekali lagi pergi. Aku pandang lagi belakang badannya yang semakin mengecil dan menjauh. Ya, itulah imej yang aku lihat bertahun dahulu. Imej budak lelaki dengan unifom sekolah berjalan pergi meninggalkan aku. Dan kini, imej itu berulang tayang dalam fikiran. Bezanya, bertahun dahulu perasaannya sakit dan pedih. Kini, perasaannya halus, hangat dan membingungkan. Bungkusan aku pandang dan intai isinya. Selendang. Aminah sudah berada di sisi aku. Apabila aku pandang wajahnya, dia senyum.
“Dia sayangkan kau. Dia sukakan kau. Dia cintakan kau.”, kata-kata Aminah berlalu seiring dengan bunyi enjin bas menderam meninggalkan perkarangan terminal bas.
“Huh...tunggu dia?”, aku menunggu balasan kata Aminah.
“Sebelum sampai masa tu, kau kena siapkan diri kau juga. Berubah. Berubah jadi lebih baik. Untuk kau, untuk dia, untuk korang berdua.”

            Aku tahu kini. Aku faham. Dan aku berharap kami akan sama-sama belajar. Sementara dunia kecil kami tertinggal di belakang, dan menjadi sejarah. Itulah dua orang kanak-kanak dengan uniform sekolah menunggang dan membonceng basikal di sepanjang jalan tanah merah beteng sungai. Apabila tengahari menjelang, bau hanyir sungai menyucuk hidung. Mereka itu bernama Jiji dan Abon. Dan kini, kisah hidup Nur Azima dan Badiuzzaman baru hendak bermula sedang Jiji dan Abon semakin pergi, jauh namun tinggal tetap dalam sudut hati yang paling dalam.

           

           






Tiada ulasan:

Catat Ulasan